
Khalayak pembaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, tetapi jumlah bahan bacaan yang bermutu untuk kelompok tersebut masih belum mencukupi. Oleh hal yang demikian, Jaringan Komuniti Sastera Kanak-Kanak dan Remaja ini dapat memberikan galakan dan perangsang kepada masyarakat agar dapat bersama-sama membangunkan dan memartabatkan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja. Di samping itu, dengan adanya jaringan ini diharapkan akan dapat memasyarakatkan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di negara ini. Usia penulisan sastera kanak-kanak dan remaja belumlah begitu lama dan mempunyai tradisi yang kukuh jika dibandingkan dengan penciptaan genre sastera lainnya.
Bidang kesusasteraan kanak-kanak dan remaja seharusnya dipandang serius dalam kalangan masyarakat, khususnya pengarang, penerbit, pembaca dan pengkaji. Khalayak pembaca dan masyarakat umum dahagakan karya sastera remaja yang hebat dan berkualiti. Namun, sehingga kini karya sastera remaja masih berada pada tahap yang tidak memberangsangkan. Walau bagaimanapun, bukan tidak mungkin, kelak muncul barisan penulis yang mampu melahirkan karya besar yang bermutu dan terkehadapan dalam dunia kesusasteraan remaja. Perkara ini boleh berlaku, terutamanya apabila wujud suasana yang kondusif bersama-sama perancangan dan usaha yang bersesuaian. Untuk memilih, menerima dan mengabsahkan nilai sesebuah naskhah karya remaja, pelbagai aspek perlu dihalusi dan diteliti. Sehubungan dengan itu, maklumat daripada penyelidikan, pengajaran dan juga pandangan para sarjana dalam seminar ini diharap dapat dikongsi bersama dengan harapan supaya Kesusasteraan Melayu dapat menjana minda remaja ke arah pembinaan negara bangsa. Selari dengan situasi kini, seminar ini diharap dapat mengupas isu yang berkaitan dengan karya, psikologi, misi, visi dan kritikan terhadap sesebuah sastera kanak-kanak remaja.
Sebenarnya, terdapat banyak kekurangan dalam proses pertumbuhan dan perkembangan karya Sastera Kanak-Kanak dan Remaja di tanah air. Antara kesungguhan dan ketekunan penglibatan serta penghasilan karya Sastera Kanak-Kanak dan Remaja sebenarnya masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan perkembangan kesusasteraan dewasa. Ia bukan sahaja ketinggalan dari segi usia malah dari aspek penglibatan para penulis, para pengkritik dan para sarjana dalam pelbagai disiplin yang ada kaitannya dengan dunia kanak-kanak dan remaja itu sendiri. Di sinilah Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja itu terabai dan serentak itu pula masyarakat semacam melupakan kekritisan pemikiran warisan bangsa yang menegaskan , ”melentur buluh biarlah daripada rebungnya”
Selama ini sama ada sedar atau tidak persepsi masyarakat hanyalah bersandarkan kepada apa-apa yang difikirkan betul dan sesuai dibaca oleh kanak-kanak dan remaja. Walhal, konsep betul dan sesuai hanya berdasarkan pada kaca mata masyarakat dewasa. Malah kemungkinan apa yang difikirkan itu tidak sesuai dengan tahap pencapaian pemikiran, keperluan, minat, kecenderungan juga naluri kanak-kanak itu sendiri.
Di samping itu, penulis Sastera Kanak-Kanak dan Remaja masih lagi kabur tentang definisi dan konsep sastera kanak-kanak dan remaja. Malah tidak kurang pula yang masih mencari-cari umpamanya novel atau cerpen yang bagaimanakah lebih baik, bermutu, sesuai dan boleh dimanfaatkan oleh pembacaan kanak-kanak dan remaja. Fenomena ini sebenarnya merupakan ciri kekurangan yang harus diakui dan diterima oleh kebanyakan penulis dalam usaha untuk meningkatkan prestasi mereka dalam penghasilan karya Sastera Kanak-Kanak dan Remaja.
Sehubungan itu, atas kesedaran tersebut Jaringan Komuniti Sastera Kanak-Kanak Dan Remaja ditubuhkan. Melalui penubuhan persatuan ini diharapkan dapat membangunkan sastera kanak-kanak dan remaja di negara ini.